Ueno Koen merupakan lokasi pelancongan terkenal di kawasan Ueno. Bagi pengunjung yang pertama kali datang ke Ueno Koen pasti merasakan terdapat banyak binaan aneh di sini. Mari merungkai misteri yang terdapat di taman ini.
- Adakah patung itu terkenal?
Jika sebut sahaja simbol Ueno Koen, pasti akan terbayang patung gangsa orang membawa anjing yang terdapat di pintu masuk taman. Ianya merupakan patung Saigo Takamori, seorang samurai terkenal yang bergiat aktif pada abad ke-19. Oleh kerana Saigo gemar membawa anjing kesayangannya berburu, patung ini telah direka berdasarkan imej tersebut.
- Mengapa di sini terkenal dengan sakura?
Ueno Koen merupakan lokasi hanami (melihat bunga) yang mempunyai lebih kurang 1,200 batang pokok sakura. Ueno Koen pada asalnya merupakan tapak kuil Buddha iaitu Kai’ei-ji. Dikatakan bahawa individu yang membina Kan’ei-ji ini telah membawa sakura dari Kyoto dan menanamnya di kawasan kuil. Di Kan’ei-ji juga terdapat makam shogun (jeneral). Pada musim sakura berkembang, kawasan ini dibuka untuk lawatan dan didatangi ramai pengunjung.
- Asal usul nama lain, Ueno no Yama
Taman ini juga dipanggil dengan nama lain, iaitu “Ueno no Yama”. Mungkin anda berasa hairan mengapa ianya dipanggil “yama” (gunung) sedangkan tiada gunung di sini. Walaupun sekali pandang kelihatan seperti tanah yang lapang, sebenarnya terdapat kawasan yang beralun. Ianya dipanggil sedemikian kerana dari sudut geografi, taman ini terletak di kawasan tinggi yang dipanggil Uenodai (dataran tinggi Ueno).
- Apakah daibutsu (patung Buddha) yang hanya mempunyai muka sahaja?
Patung daibutsu yang terdapat di Ueno merupakan patung aneh yang hanya mempunyai muka sahaja. Terdapat kisah silam yang sedih di sebaliknya. Ianya merupakan patung berbadan penuh sepanjang 6m ketika pembinaannya pada tahun 1631. Namun begitu, setelah mengalami pelbagai malapetaka seperti gempa bumi dan sebagainya, bahagian lain selain daripada muka patung tersebut telah hilang. Walaupun yang tinggal hanyalah mukanya sahaja, ramai pengunjung yang hadir mendoakan kejayaaan dengan harapan “mengatasi kesulitan, dan tidak gagal lagi”.
- Mengapa terdapat banyak muzium?
Terdapat banyak galeri seni serta muzium yang berpusat di Ueno Koen. Ianya merupakan cetusan idea oleh pengarah pertama Muzium Kebangsaan Tokyo untuk menjadikan Ueno Koen sebagai “Kawasan Muzium Besar”. Antara muzium yang wajib dikunjungi di sini ialah Muzium Sains dan Alam Sekitar Negara. Muzium ini merupakan muzium sains yang mewakili Jepun, malah spesimen anjing yang menjadi model dalam filem “HACHI” turut dipamerkan di sini.
- Apakah itu “Shitamachi”?
Kedudukan Ueno Koen terletak di kawasan yang dipanggil Shitamachi (bandar lama). Ianya merupakan bandar unik yang mempunyai gaya tersendiri walaupun terletak di Jepun. Bandar yang digelar Shitamachi ini diduduki oleh rakyat biasa yang kebanyakannya menjalankan aktiviti perniagaan dan kawasan ini sentiasa bergema dengan suara peniaga menjual barangan. Bagi sesiapa yang ingin mempelajari tentang kehidupan seharian penduduk di sini bolehlah berkunjung ke “Muzium Shitamachi”. Rumah Jepun lama yang dipamerkan benar-benar boleh dimasuki, malah pengunjung berpeluang merasai sendiri pengalaman berharga di sini.
- Apakah itu pulau di Shinobazu-noike (Kolam Shinobazu)?
Nama pulau yang terdapat di Kolam Shinobazu ialah “Nakanoshima”. Walaupun kini dihubungkan dengan jambatan, tempat ini hanya boleh dikunjungi dengan menggunakan bot pada sekitar tahun 1630. Di Benten-jima (Pulau Benten) terdapat Bentendo iaitu kuil memuja “Benzaiten” (Dewi Saraswati dalam kepercayaan Hindu) agar memperoleh kebaikan dalam pendidikan, seni, harta, serta perkahwinan.
- Mengapa terdapat zoo?
“Ueno Doubutsuen” (Zoo Ueno) merupakan zoo pertama di Jepun yang dibuka pada tahun 1882. Pada asalnya, ianya dibuka sebagai salah satu fasiliti muzium kerajaan yang terletak di dalam Ueno Koen.
- Mengapa terdapat padang besbol?
Nama padang besbol yang terdapat di dalam taman ini ialah “Masaoka Shiki Kinen Kyujyo” (Padang Memorial Masaoka Shiki). Padang ini dibuka sempena meperingati penulis puisi “haiku” yang terkenal iaitu Masaoka Shiki yang gemar bermain besbol di Ueno Koen.
- Mengapa tanuki (rakun) dianggap sebagi tuhan?
Tanuki disembah sebagai tuhan di kuil Shinto Ueno Tosho-gu. Ianya terkenal sebagai tempat memohon hajat oleh pelajar yang menghadapi peperiksaan serta mereka yang ingin menang dalam pertandingan. Tanuki dianggap sebagai tuhan disebabkan oleh perkataan tanuki yang hampir sama dengan sebutan “ta wo nukinderu” (bermaksud mengatasi yang lain) dalam bahasa Jepun, malah dikatakan membawa tuah. Bagi sesiapa yang akan menghadapi peperiksaan atau pertandingan, bolehlah cuba memohon hajat di sini.