3 LAGU TRADISIONAL KANAK-KANAK JEPUN YANG MENYERAMKAN

 

Warabe Uta adalah lagu-lagu tradisional kanak-kanak di Jepun. Serupa dengan sajak, Warabe Uta sering dinyanyikan semasa permainan. Namun, ada beberapa lagu kanak-kanak ini jika difahami maksudnya secara mendalam, ianya agak menyeramkan!

  1. Hana Ichi Monme

Hana Ichi Monme merupakan permainan yang biasa dimainkan oleh kanak-kanak di Jepun dan diselitkan juga dengan jan-ken-pon (kertas-batu-gunting). Kanak-kanak dibahagikan dalam dua kumpulan, dan semua ahli dalam kumpulan berpegangan tangan. Satu kumpulan mula menyanyikan lagu sambil melangkah ke hadapan manakala satu kumpulan lagi berundur ke belakang.

 

A: Katte ureshii, hana ichi monme.
B: Makete kuyashii, hana ichi monme.
A: Ano ko ga hoshii.
B: Ano ko ja wakaran.
A: Sodan shiyo!
B: So shiyo!

 

A: Kami sangat gembira kerana menang, hana ichi monme.
B: kami sangat kecewa kerana kalah, hana ichi monme.
A: Kami mahu budak itu.
B: Kami tidak faham budak mana yang anda maksudkan.
A: Mari kita berunding!
B: Ya, mari!

 

Kedua-dua kumpulan mula berbincang, pemain yang mana satu mereka kehendaki.

 

A: Mio-chan ga Hoshii!

B: Yuta-kun ga Hoshii!

 

A: Kami mahu Mio!

B: Kami mahu Yuta!

 

Kemudian, Mio dan Yuta berlawan jan-ken-pon, siapa yang kalah akan masuk ke dalam kumpulan yang menang.

 

“Hana Ichi Monme” bermaksud “satu bunga satu monme”. Monme adalah unit mata wang pada Zaman Edo (1603 -1868) dengan nilai sebanyak 3.75 gram perak.

 

Katte dan Makete dalam dua baris pertama bermaksud “menang” dan “kalah”. Ia juga bermaksud “beli” dan “mengurangkan harga”. Ada spekulasi mengatakan bahawa lagu ini sebenarnya mengenai wanita yang menjual anak-anak mereka sebagai hamba untuk jumlah satu Monme dan penjual akan kecewa jika harga dikurangkan.

 

  1. Teru-teru Bozu

Teru bermaksud “bersinar” dan Bozu bermaksud “sami”. Apabila anda inginkan cuaca yang baik, anda perlu menghasilkan anak patung seperti hantu (botak seperti sami) daripada kain sapu tangan berwarna putih serta tali, kemudian gantungkannya di hadapan rumah anda.

 

Amalan ini telah dipraktikkan sejak tahun 1921. Namun, bila diperhatikan liriknya ia bukanlah sesuatu pengakhiran yang indah.

 

Teru-teru bozu, teru bozu
Ashita tenki ni shite o-kure,
Itsuka no yume no sora no yo ni.
Haretara kin no suzu ageyo.

 

Teru-teru bozu, teru bozu

Jadikanlah esok hari yang cerah,

Seperti langit di dalam mimpi,

Jika ia cerah saya akan beri awak satu loceng emas.

 

Teru-teru bozu, teru bozu
Ashita tenki ni shite o-kure.
Watashi no negai wo kiita nara
Amai o-sake wo tanto nomasho.

 

Teru-teru bozu, teru bozu

Jadikanlah esok hari yang cerah,

Jika awak tunaikan hasrat saya,

Kita akan minum Sake banyak-banyak.

 

Teru-teru bozu, teru bozu
Ashita tenki ni shite o-kure.
Sore de mo kumotte naitetara
Sonata no kubi wo chon to kiru zo.

 

Teru-teru bozu, teru bozu

Jadikanlah esok hari yang cerah,

Tapi jika ia mendung dan saya mendapati awak menangis (hujan)

Saya akan potong kepala awak.

 

Mengapa pengakhiran lagu ini perlu kejam? Menurut legenda, sami pernah berjanji kepada petani untuk menghentikan hujan yang telah merosakkan tanaman mereka. Jika gagal, sami tersebut akan dijatuhkan hukuman mati.

 

 

 

  1. Anta-gata Doko sa

Anta-gata Doko Sa (Higo Temari Uta) adalah salah satu lagu yang dinyanyikan semasa bermain bola Higo Temari. Higo Temari adalah bola benang yang berwarna-warni dan bercorak geometri yang terkenal semasa Zaman Edo.

 

Anta-gata doko sa?
Higo sa. — Higo doko sa?
Kumamoto sa. — Kumamoto doko sa?
Senba sa.

 

Awak berasal dari mana?

Berasal dari Higo. – Di mana Higo?

Di Kumamoto. – Di mana Kumamoto?

Di Senba.

 

Senba yama ni wa tanuki ga otte sa.
Sore wo ryoshi ga teppo de utte sa:
Nite sa — Yaite sa — Kutte sa.
Sore wo konoha de choito kabuse.

 

Tanuki (anjing rakun) ada di pergunungan Senba.

Seorang pemburu menembaknya dengan pistol.

Didihkan ia – Bakar ia – Makan ia.

Mari kita sembunyikannya dalam daun.

 

Walau permulaan lagunya Nampak biasa sahaja, namun pengakhirannya agak mengerikan di mana pemburu tersebut membunuh dan memakan Tanuki itu.