Bunga sakura negara Jepun amat terkenal di seluruh dunia. Tetapi, daun-daun musim luruh yang gugur mungkin lebih cantik. Warna daun mula berubah pada bulan Oktober dan waktu puncak bagi daun-daun musim luruh untuk gugur biasanya pada pertengahan bulan November. Di sini, terdapat beberapa kuil yang anda harus lawati jika ingin melihat pemandangan musim luruh yang indah.
- Kuil Kiyomizu-dera
Pemandangan dari Kuil Kiyomizu-dera
Kyoto merupakan salah satu tempat yang paling sesak semasa musim luruh, terutama sekali di kuil Kiyomizu-dera kerana ia merupakan tempat tarikan terkenal bagi pelancong tempatan mahupun luar negara. Di kuil ini terdapat beranda kayu besar yang dikelilingi daun-daun musim luruh dan sekaligus membuatkan pemandangan tempat ini amat cantik semasa musim luruh.
- Kuil Komyo-ji
Kuil Komyo-ji di Nagaokakyo
Kuil Komyo-ji yang juga dikenali sebagai kuil Maple merupakan salah satu kuil di Kyoto yang terletak di bandar Nagaokakyo. Beratus-ratus pokok Maple tumbuh di sekitar kuil dan sesetengah daripada pokok-pokok tersebut telah berusia lebih dari 100 tahun.
- Kuil Sheronin
Pemandangan Kuil Sheronin pada waktu malam
Senibina Kuil Sheronin yang unik membuatkannya tampak berbeza dengan kuil-kuil yang lain. Pengunjung bebas untuk bersiar-siar di laluan taman pada waktu malam yang diterangi cahaya.
- Kuil Daigo-ji
Keindahan Kuil Daigo-ji
Kuil Daigo-ji merupakan salah satu tapak Warisan Dunia yang terletak di kawasan pergunungan. Terdapat sebuah tokong besar yang berdekatan dengan tasik. Kuil utama Daigo-ji terletak di kawasan bawah pergunungan manakala kuil-kuil yang lain terletak di bahagian puncak gunung.
- Kuil Sanzenin
Salah satu laluan di Kuil Sanzenin
Kuil Sanzenin yang terletak di Ohara, Rakuhoku merupakan tempat yang paling terkenal dengan daun-daun musim luruh. Keindahan daun-daun berwarna merah dan kuning yang bertaburan di sekitar taman membuatkan pemandangan kuil ini amat mengagumkan.