Tokyo merupakan sebuah bandar yang terkenal dengan pelbagai jenis makanan, tempat membeli-belah dan tempat untuk beristirehat. Namun, terdapat juga beberapa Tapak Warisan Dunia yang terletak di bandar besar ini. Jika anda sedang merancang sesuatu yang berbeza daripada aktiviti bandar besar yang biasa dilakukan, anda boleh lawati tapak-tapak UNESCO di bawah ini.
- Gunung Fuji
Gunung Fuji merupakan simbol negara Jepun dan yang telah diiktiraf oleh UNESCO sebagai tempat yang suci dan inspirasi untuk seni dan sastera. Cara terbaik untuk menikmati pemandangan Gunung Fuji adalah dengan mendaki hingga ke puncak, di mana ia dibuka pada musim panas (awal Julai hingga awal September) atau meronda di sekitar 5 Tasik Fuji dengan menaiki bas.
- Nikko
Nikko adalah destinasi percutian yang terkenal bagi mereka yang ingin berada jauh dari kesibukan Tokyo. Ia merupakan kawasan bersejarah di mana terdapat tempat suci Futarasan, tempat suci Toshgu dan kuil Rinno-ji. Kuil dan tokong di Nikko telah disenaraikan sebagai tapak Warisan Dunia UNESCO pada 1999.Selain itu, Nikko juga mempunyai pemandangan alam semulajadi yang indah.
- Pulau Ogasawara
Pulau-pulau Ogasawara diiktiraf sebagai sebahagian daripada Tokyo walaupun jaraknya seperti menaiki feri selama 25 jam perjalanan. Pulau-pulau ini terdiri daripada tiga pecahan kumpulan iaitu Muko-jima, Chichi-jima dan Hah-jima. Chichi-jima didiami kira-kira seramai 2,000 orang dan Hah-jima seramai 500 orang. Pulau-pulau tersebut telah diiktiraf dan berada di tempat ke-4 sebagai tapak Warisan Dunia Jepun pada 2011.
- Muzium Negara Seni Barat (NMWA)
Muzium ini terletak di Taman Ueno di timur laut Tokyo. Ia telah diiktiraf sebagai tapak Warisan Dunia pada 2016 sebagai salah satu karya oleh arkitek yang terkenal, Le Corbusier. Selain bangunan, muzium ini juga mempunyai koleksi yang hebat dengan memaparkan karya-karya daripada artis terkenal antaranya Cezanne, Rodin, Boudin, Renoir, Van Gogh dan Monet.
- Kilang Sutera Tomioka
Kilang Tomioka ditubuhkan pada 1872 oleh kerajaan untuk memperkenalkan sutera moden dari Perancis dan menyebarkan teknologi di Jepun. Ia terletak di wilayah Gunma, kira-kira dua jam dari stesen Tokyo. Kilang ini merupakan kilang sutera moden yang tertua di Jepun dan telah diiktiraf oleh UNESCO pada 2014 atas sumbangannya kepada pertumbuhan ekonomi perindustrian Jepun.