Hotel tradisional Jepun atau ryokan telah wujud sejak zaman Edo (1603-1868). Oleh itu, untuk mengekalkan suasana ryokan yang asal, terdapat beberapa etika dan peraturan yang perlu dipatuhi oleh pelawat semasa bermalam di situ.
- Tanggalkan kasut anda di pintu masuk dan sarungkan selipar.
Pelawat perlu mengetahui bahawa hotel tradisional Jepun masih lagi berpegang kepada amalan lama di mana mereka perlu menanggalkan kasut semasa berada di dalam hotel dan memakai selipar yang disediakan. Ia hanya digunakan apabila berada di sekitar ruangan hotel dan perlu ditanggalkan ketika anda berada di dalam bilik.
- Minuman segar teh Jepun.
Di dalam bilik anda, akan disediakan teh peket, cawan teh, teko kecil dan beberapa makanan ringan seperti biskut beras. Biasanya, terdapat meja kecil dan kusyen untuk duduk sambil menikmati teh.
- Jangan menjerit atau berlari di ruang koridor.
Ryokan merupakan tempat untuk beristirehat. Pelawat dilarang untuk berbuat bising ketika berada di luar bilik hotel. Jangan bercakap dengan kuat ketika berbual di telefon atau menjerit ketika memanggil rakan anda.
- Pekerja hotel akan sediakan tempat tidur pada waktu malam, dan mengemasnya pada esok pagi.
Bagi pelawat yang pertama kali bermalam di ryokan mungkin sedikit bingung apabila pekerja hotel masuk ke dalam bilik dan bentangkan futon (tilam) untuk anda. Ia mungkin kelihatan sedikit pelik namun, dengan cara begitu bilik anda akan jadi lebih luas pada siang hari.
- Lipat dan letakkan Yukata yang telah digunakan di satu tempat. Jangan ambil dan dibawa pulang.
Yukata dipakai ketika berada di ruang hotel dan di ruang makan. Sebelum anda ingin mendaftar keluar, tinggalkan yukata di tempat yang anda ambil tadi.
- Jangan letak bagasi anda di atas Tokonoma (ruang seni)
Biasanya, dalam setiap bilik tetamu di ryokan akan ada satu ruang yang dipanggil Tokonoma. Tokonoma adalah ruang dekorasi yang dihiasi dengan pokok bonzai, karya seni atau bunga. Ia juga kelihatan seperti ruang untuk menyimpan beg dan pakaian, tetapi sebenarnya bukan. Jadi, pastikan Tokonoma sentiasa dalam keadaan bersih dan kemas.