MASYARAKAT JEPUN TIDAK UTAMAKAN “ORANG TUA” DALAM PENGANGKUTAN AWAM

Jika diamati peri laku masyarakat Jepun, sudah jelas tergambar bagaimana sebuah komuniti ini terdidik dengan satu etika yang baik. Semestinya kita akan berasa teruja dan kagum dengan budaya yang diterapkan oleh penduduk masyarakat Jepun. Namun,budaya ini  tidak berlaku apabila kita menaiki pengangkutan awam di sana.

Jika naik pengangkutan awam seperti kereta api laju atau bas di Jepun, anda boleh lihat anak-anak muda duduk di atas kerusi manakala terdapat beberapa orang tua berdiri. Jadi, sudah tentu ini akan membuat anda tertanya mengapa  masyarakat yang popular dengan etika hormat yang tinggi tidak memberi tempat duduk mereka untuk orang-orang yang lebih berusia dan tua daripada mereka?

Jika anda menghabiskan masa yang cukup di Jepun dan cuba berbual dengan orang yang lebih tua, anda akan melihat ia bukan hanya tentang kesopanan dan hormat. Ia juga menitikberatkan mengenai pengendalian kemahiran sosial yang sesuai.

Jika anda cuba memberi tempat duduk kepada warga emas,mereka mungkin akan terfikir “Adakah aku terlalu tua sehingga ada orang ingin memberikan tempat duduknya?”. itulah pemikiran yang terbenak dalam fikiran masyarakat tua di Jepun. Dengan pelawaan itu, mereka berasakan diri mereka terlalu tua sehingga menyusahkan orang sekeliling. Tambahan pula di dalam pengangkutan awam itu, bukan hanya dia seorang sahaja yang tua. Sehingga akhirnya, warga emas itu menolak pelawaan anda kerana anda telah mengganggu emosinya. Jadi inilah yang masyarakat Jepun utamakan apabila mereka menaiki pengangkutan awam. Penjagaan dari segi emosi amat dititikberatkan oleh mereka.

Walaupun anda mempunyai kemahuan yang baik ingin menawarkan tempat duduk anda, ia tidak bermakna orang lain perlu menerima kebaikan anda. Dalam kes ini, mereka menolak mungkin kerana meraka tidak mahu menyusahkan anda atau mereka sendiri tidak mahu menerima ehsan dari anda.

Seperti mana yang kita tahu, negara Jepun adalah sebuah negara yang mempunyai ramai penduduk dalam kalangan warga emas. Perspektif mereka dengan memberi keutamaan kepada “orang tua” mungkin berbeza daripada kebanyakan negara-negara Asia lain.

Jika anda mahu juga meneruskan niat anda untuk memberikan tempat duduk kepada mereka, boleh! Tetapi dengan cara yang berbeza. Berdiri dan tinggalkan lah tempat duduk itu. Cuba berpura-pura untuk berhenti di perhentian yang seterusnya dengan berdiri dan berjalan ke arah pintu untuk keluar dari bas atau pergi ke kabin lain. Jika mereka ingin duduk, mereka  sendiri akan mengambil tempat duduk itu . Senang bukan!