Selepas melawat Hakodate, destinasi kami seterusnya adalah Tasik Toya. Tasik ini terkenal dengan landskapnya yang memukau dan onsen semula jadi di kawasan sekitarnya. Jika anda merancang untuk melawat Noboribetsu, masa yang paling sesuai adalah pada hari pertama sebelum ke Hakodate kerana Noboribetsu terletak di antara Chitose dan Hakodate.
Tasik Toya terletak 10 kilometer dari kawah gunung berapi di Taman Negara Shikotsu-Toya. Menariknya, Tasik Toya merupakan salah satu tasik yang tidak pernah beku semasa musim sejuk dan tasik kedua yang paling jernih di Jepun.
Tasik Toya tidak pernah membeku!
Kami menetap di Daiwa Ryoka Annex yang terletak di hadapan Tasik Toya dan mempunyai onsen tersendiri. Ia juga merupakan sebuah hotel tradisional Jepun di mana tandas tidak disediakan di dalam bilik tetapi mereka menyediakan bilik mandi di onsen untuk pelancong di situ.
Onsen di dalam hotel
Seperti yang kita tahu Malaysia adalah sebuah negara tropika yang tiada musim sejuk, jadi kami membuat keputusan untuk membuat orang salji yang mengambil masa kurang dari 1 jam untuk membina dan menghiasi orang salji kami.
Orang salji ciptaan kami
Setelah semua orang sudah penat dan lapar, kami singgah di restoran berdekatan untuk makan tengah hari.
Hidangan pilihan kami
Selepas melawat Tasik Toya, perhentian kami seterusnya adalah Niseko. Niseko hanya 1 jam perjalanan dari Toyako Onsen. Ia merupakan salah satu destinasi ski paling terkenal dengan salji yang berkualiti. Peminat Ski & snowboard dari seluruh dunia akan terbang datang ke sini semasa musim sejuk untuk merasai permainan di bahagian lereng gunung. Oleh itu, anda akan dapati lebih ramai pelancong asing dari pelancong Jepun di Niseko.
Kami mengambil keputusan untuk bermain ski dan snowboard di Niseko Grand Hirafu di mana ianya adalah salah satu daripada 4 tempat peranginan (Hanazono, Grand Hirafu, Niseko Village & Annupuri) Niseko pada satu gunung, Niseko Annupuri (1,308m)
Peta Niseko United
Memandangkan kami orang baru yang tidak mempunyai peralatan, kami perlu menyewa hampir semua peralatan ski & snowboard. Jika anda merancang untuk bermain ski lebih dari 1 hari, dinasihatkan untuk membeli pakaian ski sendiri di negara anda daripada menyewa di sini. Terdapat banyak kedai yang menyewa sut ski & peralatan di Niseko. Kos menyewa jaket ski, seluar & ski atau snowboard adalah sekitar 7,500 yen seorang.
Bersiap sedia untuk bermain snowboard
Selepas bersiap sedia, kami menuju ke lereng pemula dan membeli pas 8 jam lif ski dengan harga 5,900 yen seorang. semakin lama tempoh pas lif ski, harga akan menjadi semakin murah. Anda boleh juga jika tidak mahu membeli pas ini dan anda perlu memanjat cerun sendiri, walau bagaimanapun tidak digalakkan kerana akan membazir tenaga anda sahaja. Dengan pas ini, anda boleh menaiki lif untuk ke atas tanpa terhad dalam tempoh 8 jam.
Wajah kegembiraan bermain ski & snowboard
Selepas berseronok bermain ski & snowboard tanpa henti selama 8 jam, jangan lupa untuk membeli coklat panas dan tart keju Niseko!
Niseko Cheese Tart
Kami meninggalkan hotel pada waktu petang dan menuju ke destinasi seterusnya iaitu Otaru. Otaru adalah bandar pelabuhan kecil di barat laut Sapporo. Perjalanan dari Niseko ke Otaru mengambil masa kira-kira 2 jam.kami tiba di Otaru pada waktu malam dan menginap di penginapan Airbnb.
Perjalanan dari Niseko ke Otaru mengambil masa selama 1 jam 21 minit
Otaru terkenal dengan terusan yang cantik dan terpelihara serta dikelilingi dengan gudang-gudang lama yang telah ditukarkan menjadi kedai-kedai komersial. Dikatakan bahawa Otaru mempunyai lebih daripada 100 kedai sushi lantas menjadikannya salah satu tempat terbaik untuk menikmati sushi pada harga yang berpatutan di Hokkaido.
Terusan di Otaru
Apabila melawat Otaru, anda perlu datang dengan perut kosong kerana anda akan makan tanpa henti sepanjang hari di sini. Seperti melawat ke Pulau Pinang, memang tidak cukup untuk mencuba semua makanan terkenal dalam tempoh sehari.
Kami memulakan perjalanan dengan melawat Waraku Kaiten Sushi yang terletak di seberang terusan Otaru. Waraku menawarkan pelbagai jenis sushi pada harga yang berpatutan.
Yummy!
Menu sushi pilihan kami
Satu lagi tarikan utama untuk dilawati di Otaru adalah Sakaimachi Street dimana terletaknya kedai-kedai terkenal seperti Muzium Kotak Musik, Kafe Le Tao dan Kitakaro Rokkatei.
Kawasan kedai pastry Le Tao
Le Tao adalah kedai pastri yang dibuka pada tahun 1998 dan terkenal dengan kek keju fromage. Kek keju ini terdiri daripada 2 lapisan, lapisan atas adalah susu keju tanpa dibakar manakala lapisan bawah adalah kek keju yang sangat lembut.
Kek keju fromage
Perjalanan kami di Otaru berakhir sampai di sini sahaja. Esok kami akan terokai tempat-tempat menarik di Sapporo!