Hokkaido merupakan sebuah pulau utama yang terletak di utara Jepun. Ia terkenal dengan kawasan gunung berapi, kolam air panas semula jadi (onsen), dan kawasan ski. Kali ini, Kami petik sebuah artikel dari blog Tommy Ooi Travel Guide untuk dikongsikan kepada anda dan dijadikan sebagai panduan bagi mereka yang sedang merancang percutian ke Hokkaido.
Pertama sekali kami akan membeli tiket penerbangan semasa harga promosi, jadi apabila AirAsia membuat promosi tiket KL-Sapporo, kami berjaya menempah tiket pergi-balik dengan harga RM248 seorang di mana ia merupakan penerbangan paling murah ke Hokkaido.
Disebabkan Airasia jarang menawarkan harga seperti ini lagi, masih dianggap murah jika anda dapat menempah tiket dengan harga sekitar RM600-RM800. Dengan penerbangan AirAsia X, kami tiba pada jam 8.00 pagi di lapangan terbang Shin Chitose yang terletak 45 minit dari bandar Sapporo. Semasa tiba di Hokkaido, suhu adalah -15 darjah Celsius dan kadar penglihatan sangat rendah. Pesawat yang kami naiki tidak dapat bergerak ketika mendarat dan memerlukan bantuan trak tunda ke pintu pagar.
Lapangan terbang Shin Chitose amat menarik, terdapat banyak pilihan restoran dan inilah masa yang paling sesuai untuk kami mengisi perut dengan makanan Jepun!
Ebisoba Ichigen ialah ramen udang yang sangat terkenal di Sapporo, supnya yang dipenuhi udang umami dan nitamago, char siew Jepun dan telur udang. Ichigen dibuka pada jam 10 pagi dan cepat dipenuhi pelanggan jadi lebih baik berada di sana sebelum jam 10 pagi.
Jika penerbangan anda mendarat pada waktu pagi seperti kami, digalakkan melawat lapangan terbang Shin Chitose semasa tiba sebelum memulakan lawatan ke Hokkaido kerana anda tidak akan mempunyai masa untuk melawat pada hari terakhir sebelum berlepas pulang. Lapangan terbang ini juga tuan rumah kepada Royce Chocolate World & Doraemon Sky Park.
Di lapangan terbang ini juga merupakan tempat yang sesuai untuk membeli omiyage (cenderamata). Jika penerbangan pulang anda adalah pada lewat pagi, Shin Chitose adalah tempat yang sesuai untuk membeli-belah terakhir anda. Kedai mula dibuka pada jam 8.30 pagi.
Pada mulanya, perjalanan kami berdua sahaja sebelum kakak dan abang saya membuat keputusan untuk turut serta. Disebabkan kami ada empat orang, kami mengambil keputusan untuk memandu sendiri. Sebelum percutian, kami memikirkan sama ada mahu memandu sendiri atau menaiki pengangkutan awam. Kerisauan memandu di negara lain dan kurang berpengalaman dalam keadaan salji membuatkan kami tidak berhenti memikirkannya.
Walau bagaimanapun, akhirnya kami mengambil keputusan untuk memandu sendiri kerana lebih mudah untuk melawat kawasan terpencil terutamanya semasa musim sejuk.
Kami menempah kereta sewa melalui dalam talian dengan ToCoo!, salah satu daripada perkhidmatan kereta sewa dalam talian yang paling dipercayai di Jepun. Jika anda merancang untuk memandu beberapa hari, kami cadangkan anda menyewa daripada syarikat-syarikat yang menawarkan Hokkaido Highway Pass di mana ia membolehkan anda melalui lebuh raya tanpa terhad dengan tambang yang tetap. Ingat! Tidak semua syarikat kereta sewa menawarkannya.
Sama ada anda mahu memandu sendiri adalah bergantung pada tempat yang anda ingin lawati. Anda tidak perlu memandu sendiri jika merancang untuk melawat Sapporo dan Otaru sahaja. Tetapi, jika anda merancang untuk melawat beberapa tempat dan pekan kecil seperti Hakodate, Niseko, Tasik Toya, Noboribetsu, Furano, Biei, Shiretoko ia lebih baik untuk anda pandu sendiri.
Untuk perjalanan percutian kami yang pertama, kami memutuskan untuk meneroka Hakodate – Tasik Toya – Niseko – Otaru & Sapporo. Memandangkan Hokkaido sangat besar, amat mustahil untuk melawat semua bandar kecuali anda mempunyai masa yang banyak.
Perhentian pertama – Hakodate
Hakodate terletak 280km dari Shin Chitose dan memakan masa selama 3 jam perjalanan. Semasa musim sejuk, tempoh perjalanan akan jadi dua kali ganda memandangkan jalan raya licin dan had kelajuan akan dikurangkan menjadi 50km/h.
Terletak di selatan Hokkaido, Hakodate adalah bandar ketiga terbesar di Hokkaido. Ditubuhkan pada tahun 1454, bandar ini terkenal dengan pemandangan yang menakjubkan dari Gunung Hakodate dan makanan laut yang lazat yang menjadi tarikan utama tempat ini.
Kami mencuba burger udang, burger keju, burger ayam china dan ayam kari cina. Kami mengesyorkan anda untuk mencuba sotong panggang, burger udang dan ayam kari cina.
Salah satu tarikan yang wajib dilawati sudah semestinya pasar pagi Hakodate di mana ia mengumpulkan 300 buah kedai yang menjual makanan laut dan sayur-sayuran yang segar.
Donburi Yokocho Ichiba adalah sebuah lorong makanan berdekatan dengan pasar pagi Hakodate, tempat untuk mendapatkan makanan laut terbaik di pekan Donburi. Salah satu keistimewaan Hakodate adalah ‘Dancing Squid’ yang hanya boleh didapati di kawasan ini.
Nama ‘Dancing Squid’ tercipta kerana tukang masak menangkap sotong terus dari akuarium dan memasaknya. Disebabkan sotong itu dibunuh dengan cepat, ototnya masih lagi bergerak-gerak semasa dihidangkan. Kemahiran memasak ini adalah untuk memastikan kesegaran sotong semasa makanan dihidangkan kepada pelanggan.
Kawasan Motomachi yang terletak di kaki gunung Hakodate menjadi tempat kegemaran bagi pelawat yang datang melancong ke Jepun. Di sini, anda boleh menemui pelbagai jenis pekan eksotik yang cantik dengan bangunan gaya barat.
Petite Merveille terkenal dengan reka bentuk pastry dan Souffle keju. Ia menggunakan gabungan labu sebagai bahan utama di dalam kek dan ais krim.
Menara Goryokaku terletak di sebelah Goryokaku yang membolehkan pelawat melihat panorama yang cantik dari platform pemerhatian.
Taman Botani Tropika Hakodate adalah sebuah tempat di mana anda dapat melihat monyet salji yang sedang menikmati onsen ketika musim sejuk. Ia sebenarnya bukan sebuah taman yang besar, tetapi lebih kepada mini zoo dengan pameran taman botani tropika.
Selepas 3 hari, percutian kami di Hakodate telah tamat. Destinasi kami seterusnya adalah Tasik Toya!