Gunung Fuji merupakan gunung tertinggi di Jepun berketinggian 3,776 meter yang terletak di sempadan dua wilayah, Shizuoka dan Yamanashi. Dengan keindahan yang tiada tandingan dan gunungnya yang berbentuk kon, ia menjadi simbol Jepun yang terkenal di dunia. Kami ingin kongsikan pengalaman pelancong dari blogger Brooke Saward ( World of Wonderlust) yang telah melihat sendiri keindahan Gunung Fuji.
Ramai pelancong yang datang ke Tokyo akan berasa seperti ingin keluar dari bandar tersebut untuk melihat pemandangan semula jadi terutamanya pemandangan Gunung Fuji dan melihat lebih banyak budaya Jepun di bandar-bandar seperti Hakone. Namun sebelum itu, pastikan anda meluangkan banyak masa di Tokyo kerana ia adalah salah satu bandar daripada bandar-bandar yang paling luar biasa untuk diterokai dengan pelbagai aktiviti, restoran dan bar. Jika saya mempunyai masa di Tokyo sekali lagi, saya akan mengelilingi bandar Tokyo lebih lama dari percutian sebelumnya. Tokyo merupakan sebuah bandar yang menarik dan perlu dilihat lebih daripada 3 hari!
Walau bagaimanapun, saya sangat gembira kerana berjaya melawat Gunung Fuji & Hakone pada hari yang terang, cerah dan cuaca yang baik.
Lawatan Tokyo : Melawat Gunung Fuji
Sebelum ini, saya telah melawat Jepun sebagai sebahagian dari ‘Splendours of Japan tour with Trafalgar’, lawatan sehari ke Gunung Fuji & Hakone telah disusun dalam jadual kami. Saya telah melawat Jepun bersama ayah saya yang amat teruja untuk melihat gunung tersebut, tetapi kami berdua tidak sedar bahawa pemandangan Gunung Fuji agak kabur pada musim sejuk disebabkan gunungnya yang diliputi dengan awan tebal.
Kami bertolak pada jam 8.00 pagi dan pemanduan dari Tokyo ke Gunung Fuji mengambil masa kira-kira dua jam, ia bergantung juga pada kesesakan lalu lintas. Malangnya, kami tidak dapat melawat gunung itu walaupun ramai pengunjung yang berkeras untuk membuat perjalanan mereka ke stesen-5. Jika anda benar-benar ingin pergi ke sini, pastikan anda tiada rancangan lawatan ke tempat lain pada hari tersebut selain Gunung Fuji.
Pemandangan dari Tasik Kawaguchi sangat menakjubkan. Tiada pemandangan lain yang lebih mengagumkan di dunia pada hari tersebut! Jangan lupa untuk pergi ke kedai cenderamata selepas selesai mengambil gambar dan menikmati ais krim vanilla. Anda akan sedar bahawa Jepun sangat gemarkan pelbagai perisa ais krim – dari matcha ke wasabi!
Ada banyak masa untuk terus melihat Gunung Fuji dari jauh di samping melawat pekan berhampiran Hakone. Dari kereta kabel anda boleh melihat Gunung Fuji dari jauh pada waktu yang cerah. Di kawasan bawah kereta kabel, anda akan menemui pelbagai kedai hadiah, menjual segala-galanya daripada cenderamata pelekat hingga ke kraf tangan tradisional Jepun.
Jika anda mempunyai lebih masa, boleh lawati tempat suci Hakone yang merupakan salah satu lagi perhentian terkenal dan terletak betul-betul di tepi tasik!