Di jepun, bulan Disember dipanggil Shiwasu yang bermaksud “sedangkan guru yang biasanya tenang, ke sana dan ke sini”. Sebenarnya, orang Jepun pergi ke sana dan ke sini untuk menyambut tahun baru dengan fikiran yang tenang. Oleh itu, Osoji (pembersihan secara besar-besaran perlu dilakukan dan diselesaikan pada 31 Disember (Omisoka) untuk mengeluarkan segala kekusutan dan kekotoran untuk tahun sebelumnya serta menyucikan rumah untuk tahun yang akan datang.
Di bawah adalah adat Jepun pada 31 Disember (Omisoka) :
- Toshikoshisoba (Mi Soba)
Mi Soba dinikmati pada 31 Disember. Memakan mi panjang pada ketika ini sebagai tanda mereka menikmati kehidupan yang panjang. Tradisi ini telah dipraktikkan sejak zaman Edo (1603 – 1867) lagi.
- Kohaku-utagassen (pertandingan nyanyian “The Red Women verse White Men”)
Ia merupakan sebuah rancangan persembahan musik yang ditayangkan oleh NHK yang memaparkan ramai artist Jepun dan Enka (penyanyi balada Jepun).
- Joya
Joya adalah malam tahun baru di mana kuil-kuil di seluruh Jepun akan membunyikan loceng besar sebanyak 108 kali. Dideringkan sebelum jam 12 sehinggalah melepasi jam 12 tengah malam pada tahun baru.
- Shogatsu (festival tahun baru)
Shogatsu merupakan merupakan salah satu festival tahunan yang amat penting. Ia disambut berdasarkan kalendar China namun, pada 1873 Jepun menggunakan kalendar Gregorian dan menjadikan 1 Januari sebagai hari tahun baru Jepun yang rasmi. Kebanyakkan perniagaan ditutup pada 1 hingga 3 Januari. Kebiasaanya, ahli keluarga akan pulang ke kampung masing-masing untuk berkumpul.
- Kado-matsu ( Dekorasi tahun baru)
Dekorasi akan diletakkan di pintu masuk hadapan yang terdiri daripada pine dan buluh. Pine melambangkan panjang umur manakala batang buluh melambangkan kemakmuran.
- Osechi-ryori
Osechi-ryori adalah hidangan khas yang dimakan oleh orang Jepun semasa sambutan tahun baru. Pelbagai bahan-bahan seperti ikan, kacang hitam dan rumpai laut digunakan. Mereka menyimpan hidangan tersebut di dalam kotak yang berlapis supaya tahan lebih lama. Mochi (kek beras) juga turut dinikmati ketika sambutan tahun baru.
- Nengajo
Nengajo adalah poskad ucapan tahun baru yang dihantar pada rakan-rakan, saudara-mara dan pelanggan. Poskad tersebut kebiasaanya mempunyai tanda zodiak Cina.
- Otoshidama
Otoshidama adalah wang hadiah yang diberikan kepada kanak-kanak oleh ibu bapa mereka atau saudara-mara. Ia merupakan sesuatu yang paling ditunggu-tunggu oleh kanak-kanak, supaya mereka boleh membeli sesuatu yang mereka mahukan.