Bagi yang beragama Islam, solat merupakan tiang agama dan ianya wajib dilakukan didalam apa jua keadaan. Bagi yang masih baru pertama kali melancong ke luar negara, pasti anda tertanya-tanya bagaimana ingin menunaikan rukun islam yang pertama ini ketika berada di luar negara yang mempunyai waktu dan cuaca yang sama sekali tidak sama dengan tempat tinggal asal. Di sini terdapat beberapa tips yang dapat dikongsikan kepada anda untuk dijadikan panduan:
1. Bagaimana mahu solat?
Perkara pertama yang datang di fikiran anda pastilah di mana tempat untuk menunaikan solat. Anda tidak pelu risau kerana kebanyakan negara-negara di Asia ,Eropah mahupun negara bukan Islam seperti Amerika banyak masjid-masjid telah pun dibina. Namun begitu, kebanyakan masjid yang dibina berada di bandar-bandar utama. Jadi jika destinasi anda di Bandar, tempat solat tidaklah menjadi masalah.
Permasalahan timbul, sekiranya anda melancong keluar dari bandar-bandar maka ianya menimbulkan sedikit halangan untuk mencari tempat solat. Dalam hal ini, kebiasaannya orang Muslim di luar negara bersolat di mana-mana ruang sahaja yang dibolehkan untuk solat.
Contohnya ialah di ruangan parking kereta, di padang rumput, di kawasan orang tidak lalu lalang, jika di pasaraya biasanya lokasi strategik ialah di kawasan tangga kerana orang jarang menggunakannya. Mungkin juga sekiranya berseorangan, tempat terbaik ialah bilik persalinan kerana lebih privasi. Akhir sekali, solatlah seperti mana kebiasaan anda solat walaupun di luar negara.
2. Waktu solat
Waktu solat di negara yang terletak atas dari garisan khatulistiwa sentiasa berubah-ubah sama ada di hemisfera selatan ataupun di hemisfera utara. Negara-negara latitud tinggi ditafsirkan negara-negara yang terletak melebihi latitud 66° Utara dan Selatan. Negara-negara tersebut akan mengalami perubahan siang dan malam yang terlalu singkat atau tidak akan berubah langsung.
Manakala di negara-negara yang latitudnya melebihi 45° Utara seperti Sweden, Norway, Kanada dan Russia, perubahan siang dan malamnya berlaku secara jelas, tetapi perbezaan jangkamasa siang dan malamnya begitu ketara. Masa solat di negara-negara ini berubah-ubah dengan begitu cepat sekali dan bagi setiap musim (empat musim), waktu solat adalah berbeza. Jadi adalah sangat penting untuk sentiasa mengambil tahu masuknya waktu solat mengikut kawasan masing-masing.
Namun bukanlah menjadi masalah besar kerana teknologi banyak membantu. Di internet, terdapat jadual perkiraan masuknya waktu solat. Dan kebiasannya, di masjid-masjid terdekat ada menyediakan jadual percuma yang boleh diambil untuk dirujuk . Maka, waktu solat anda lebih terjaga. Bagi mereka yang merancang untuk bercuti, anda dinasihatkan untuk bersedia terlebih dahulu.
Lebih selamat jika ada perancangan awal bila dan di mana anda mahu solat. Bagi wanita, tidak perlulah membawa kain telekung ke mana-mana tempat semasa perjalanan. Cukup dan memadailah memakai pakaian yang mampu menutup aurat selain telapak tangan dan muka.
3. Wudhu’
Jika destinasi negara tempat anda ingin melancong sedang mengalami musim sejuk, digalakkan anda memakai Khuf, iaitu sejenis stokin kulit yang kalis air. Dalam Islam, mereka yang memakai khuf hanya perlu menyapu air ke atasnya tanpa perlu membasuh kaki mereka, dan tanpa perlu membuka khuf tersebut ketika berwuduk dengan syarat-syarat tertentu.
Selain itu, boleh juga memakai stokin yang tebal dengan syarat air tidak terkena bahagian kulit kaki dan ianya boleh digunakan seperti Khuf. Untuk mengambil wudhu di negara seperti United Kingdom, biasanya susah untuk menjumpai pair air di tepi-tepi jalan, jadi cara terbaik ialah mengambilnya di tandas awam.
Selain itu, bawalah sentiasa sebotol air mineral yang suci ke mana sahaja sebagai persediaan untuk mengambil wudhu. Jika langsung tiada air, mengambil wudhu dengan cara tayammum juga dibenarkan menggunakan pasir atau debu-debu yang berdekatan.
4. Menentukan arah kiblat
Mencari arah kiblat adalah suatu kewajiban bagi mereka yang mahu mendirikan solat. Pelbagai cara dan kaedah boleh dilakukan bagi menentukan arah kiblat pada masa kini. Teknologi satelit, kompas dan sebagainya memungkinkan kita untuk mengetahuinya dengan mudah. Selain itu bagi pengguna smart phone, terdapat applikasi yang membolehkan anda menentukan arah kiblat.
Maka tiada masalah dalam menentukan arah kiblat. Bagi mereka yang lebih selesa dan mahir menggunakan kompas, maka gunakanlah kompas. Dalam Islam, tidak sah solatnya jika seseorang itu mengerjakan solat tanpa mengadap kiblat dengan alasan tidak tahu. Hal ini tidak dipandang sebagai keuzuran tetapi dipandang sebagai suatu hal yang mempermainkan agama.
Sebagai seorang Muslim, menyediakan peralatan untuk solat adalah perkara utama yang perlu difikirkan apabila ingin bermusafir. Namun jika semua usaha telah dilakukan masih gagal untuk menentukan arah kiblat, maka dibenarkan untuk menganggarkan arah kiblat setepat mungkin.
Anda juga boleh memuat turun aplikasi seperti Muslim Pro di telefon bimbit anda. Aplikasi-aplikasi seperti ini sudah memadatkan fungsi arah kiblat dan waktu solat selagi anda mempunyai talian ke internet.